Tips Membeli Binokular untuk Pencerapan

Kebanyakan orang yang baru mula menceburi bidang astronomi amatur akan memikirkan peralatan astronomi yang diperlukan untuk mereka mengetahui dengan lebih dalam lagi rahsia langit. Dan kebanyakan mereka akan memilih untuk terus membeli teleskop. Kebiasaanya, selepas selesai menguruskan teleskop dan apabila mereka mula melihat melaluinya, mereka akan kecewa dan hampa kerana orientasi imej yang mengelirukan dan sudut penglihatan yang kecil menyukarkan mereka untuk melihat imej yang diidam-idamkan. Sebagai permulaan, binokular adalah alat yang sangat membantu anda dalam hobi ini. Kepelbagaian binokular di pasaran kadangkala membuatkan kita keliru untuk memilih. Jadi saya akan cuba terangkan serba sedikit apa yang perlu diketahui untuk anda memilih binokular yang baik.

1. Pembesaran

Pembesaran (Magnification) sesebuah binokular adalah penting tetapi bukanlah segala-galanya. Ramai tersalah anggap bahawa lebih tinggi kadar pembesaran binokular lebih baik. Hakikatnya, binokular yang mempunyai kadar pembesaran yang tinggi biasanya akan menyebabkan sudut penglihatan binokular itu berkurang dan imej menjadi kelam dan tidak nyata. Ia biasanya dilabel seperti 10×50, 7×50 dan 7×25 dimana 10x dan 7x adalah kadar pembesaran sebanyak 10 kali ganda dan 7 kali ganda lebih dekat dari asal.

2. Diameter lensa objektif (Objective lens diameter)

Juga dirujuk sebagai Aperture. Diameter lensa objektif adalah diameter setiap satu kanta depan (objektif) sesebuah binokular, diukur dalam milimeter. Ia akan dilabel sebagai nombor kedua selepas label pembesaran, sebagai contoh 10×50, dimana 10x adalah pembesaran imej sebanyak 10 kali ganda dan 50 adalah ukuran diameter lensa objektif sebanyak 50mm. Diameter lensa objektif amat mempengaruhi penglihatan. Katakanlah anda mempunyai dua binokular dari kualiti yang sama dan kadar pembesaran yang sama, 8×40 dan 8×25. 8×40 akan menghasilkan imej yang lebih terang dan cerah kerana lebih banyak sinar cahaya yang dihasilkan (exit pupil) keluar dari kanta mata. Tetapi perlu diingatkan, semakin besar saiz kanta objektif semakin berat binokular tersebut. Apabila binokular terlalu berat tripod sangat diperlukan untuk menyokong binokular tersebut.

3. Kawasan Penglihatan (Field of View)
Sudut yang dirangkum pada 1000 ela apabila menggunakan binokular yang mempunyai sudut 6° (Sumber: bestbinocularsreviews.com)

Juga boleh dikaitkan dengan sudut penglihatan (Angle of View), kawasan penglihatan juga merupakan salah satu faktor yang membentuk binokular yang sesuai untuk mendapatkan pemerhatian yang memuaskan. Kawasan penglihatan (Field of View) bermaksud luas kawasan yang boleh dilihat menerusi satu-satu binokular. FOV boleh diukur dengan 2 cara, sama ada lebar dalam kaki pada 1000 ela atau dengan menggunakan sudut darjah (Angle of View). Sebagai contoh, binokular 8×42 yang mempunyai Field of View (FOV) sebanyak 107 kaki/1000 ela. Bayangkan anda berada di satu kawasan padang yang mempunyai pagar yang mempunyai kelebaran yang tak terhingga dari kiri ke kanan kawasan tersebut, 1000 ela di hadapan anda. Apabila anda melihat menerusi binokular, anda akan nampak 107 kaki dari pagar tersebut tanpa menggerakkan binokular. Jika FOV 315 kaki pada 1000 ela, anda akan nampak 315 kaki panjang pagar (lihat gambar di atas). Kebiasannya ukuran Angle of View lebih senang digunakan untuk tujuan ini.

[su_table responsive=”yes” fixed=”yes”]

Sudut Penglihatan Anggaran Kawasan Penglihatan
SUDUT KAKI/1,000 ELA METER/1,000 M
5 265 88
6 320 107
7 370 123
8 420 140
9 480 160
10 530 177
11 580 193
12 640 214

[/su_table]

4. Exit Pupil

Jika anda bahagikan saiz diameter lensa objektif dengan kadar pembesaran binokular, anda akan mendapat satu nilai antara 4 hingga 8. Nilai ini dipanggil exit pupil. Exit pupil ialah diameter sinar cahaya yang meninggalkan kanta mata apabila anda memegang binokular dan menumpu ke arah satu sumber cahaya. Sebagai contoh, binokular 7×50 mempunyai exit pupil lebih kurang 7 milimiter diameternya. Exit pupil sesebuah binokular haruslah sama atau lebih kecil dari anak mata yang telah diadaptasikan dalam gelap. Dengan ini, binokular tersebut akan menghantar semaksimum mungkin jumlah sinar cahaya dan menghasilkan imej yang lebih terang bergantung kepada aperture. Purata orang dewasa mempunyai ukuran anak mata sebanyak 7mm, dan purata itu akan berkurang sehingga 5mm. Jadi untuk mata yang semakin tua, exit pupil juga perlulah dikurangkan untuk mendapat hasil imej yang baik kerana anak mata hanya akan menerima sinar cahaya yang terhasil mengikut diameternya sahaja.

5. Spesifikasi Tambahan

Biasanya binokular juga akan dilabel mengikut abjad-abjad tertentu seperti 10×50 WA. Saya akan berikan secara ringkas maksud abjad-abjad tersebut:

  • Z: Zeiss pattern
  • B atau BL: Bausch & Lomb
  • RP: Roof prism (Dach)
  • M: Micro
  • C: Compact
  • B: Eye Relief (biasanya dilabel rapat seperti 8x30B)
  • A or GA: Rubber armoured
  • W: Wide Angle
  • C: Centre Focusing

Tidak dilupa juga Inter-pupillary Distance iaitu jarak antara dua anak mata. Anda dinasihatkan untuk mengukur dahulu IPD ini kerana tidak semua orang boleh menggunakan binokular. Tipikal IPD untuk seorang dewasa ialah 60 hingga 66 mm dan binokular biasanya diselaraskan untuk mereka yang mempunyai IPD tersebut atau mungkin lebih. Periksa di kedai mata atau rujuk sini untuk mengukur sendiri.

Untuk permulaan, anda digalakkan memilih binokular yang mempunyai spesifikasi 8×40, 7×50 atau 10×50. FOV yang luas penting supaya kita dapat melihat langit dengan lebih luas. Binokular yang lebih dari 10×50 seperti 10×70, 20×80, dan 25×100 perlu disokong dengan menggunakan tripod kerana binokular pada kadar itu sudah cukup berat untuk dipegang dengan tangan. Sebenarnya banyak lagi spesifikasi binokular yang boleh anda tahu tetapi artikel ini hanya memberitahu asas secara umum sahaja. Anda juga boleh mencari kata kunci seperti eye relief, lens coating, twillight factor, focus dan sebagainya di mana-mana enjin carian

Sumber: How to choose Binocular, General Binocular Recommendation

Entri ini pertama kali disiarkan di blog peribadi yang lama pada tahun 2011.