Ada Apa Dengan Bulan?

Sebenarnya takde apa-apa pun dengan bulan. Sekadar yang kita tahu sebagai orang biasa; benda tu sfera, penuh dengan kawah, dan muncul hampir setiap malam dengan fasa-fasa dia. Macam tu la jugak orang dulu-dulu anggap sebelum terciptanya teleskop pada awal tahun 1600s. Tapi bila teknologi dah maju, orang pun mendapati bahawa bulan ni bukan unik pada bumi saja. Rupanya sesetengah planet lain pun ada bulan dia sendiri. Sebenarnya apa dia bulan ni? Kalau ikut definisi, bulan ni ialah satu jasad samawi yang mengorbit planet yang bersaiz lebih besar daripadanya. Jadi kat sini kita tak mahu bercakap pasal bulan lain, kita nak bercakap pasal bulan yang ada dengan kita je.

Sebelum tu, kalau nak berkenalan dengan seseorang kita mesti la kena tahu nama dia, peribadi dia, sikap dia kan. Jadi meh saya kenalkan korang secara ringkas dengan satu-satunya satelit semulajadi yang ada kat planet kita ni. Nama diberi ialah Bulan (atau orang putih kata the Moon). Memang tak cool langsung nama macam bulan-bulan di planet lain seperti Io, Europa, dan Miranda. Jarak dia dekat je, hanya sejauh 384,400 kilometer ataupun 1.3 saat cahaya dari sini. Bulan mengelilingi planet kita setiap 27.3 hari secara tempoh siderius, dan 29.5 hari secara tempoh qamari. Bulan juga tidak memancarkan cahayanya sendiri, sebaliknya hanya memantulkan cahaya matahari ke bumi. Disebabkan dua perkara ni; Bulan mengorbit bumi dan memantulkan cahaya matahari ke bumi, kita dapat melihat kitaran fasa-fasa bulan di langit.

Fasa-fasa bulan. Sumber: mesejbulan.wordpress.com

Permukaan bulan juga diselaputi kawah dan dipenuhi dengan pasir dan batu-batuan. Keadaan ini disebabkan oleh ketulan asteroid dan meteorit yang menghentam permukaan bulan. Disebabkan bulan tidak mempunyai atmosfera untuk melindungi dirinya daripada impak objek-objek samawi kecil ini, jumlah kawah yang wujud di bulan adalah jauh lebih banyak berbanding bumi. Bulan juga mempunyai dua sisi yang digelar sisi dekat dan sisi jauh. Tapi hanya satu sisi sahaja yang boleh dilihat dari bumi iaitu sisi dekat disebabkan bulan berputar pada paksinya pada kadar yang sama ianya beredar mengelilingi bumi. Fenomena ini dinamakan putaran segerak ataupun penguncian pasang surut (tidal locking).

Gambar kiri ialah kesan penguncian pasang surut, iaitu apabila bulan berputar pada paksinya selari dengan peredaran mengelilingi bumi. Gambar kanan ialah apabila bulan tidak berputar pada paksinya, bermakna pemerhati di bumi akan nampak kedua-dua sisi bulan secara alternatif. (Sumber: Wikipedia)

Terdapat pelbagai fenomena alam yang boleh dikaitkan dengan bulan. Berikut adalah antara fenomena-fenomena biasa yang boleh terjadi disebabkan kewujudan bulan.

  • Fenomena pasang-surut: Kejadian ini adalah disebabkan pengaruh tarikan graviti bulan serta putaran bumi mengelilingi matahari. Blog pancing seperti Myrodreel dan Umpan ada menerangkan perkara ini secara lebih jelas.
  • Gerhana Bulan: Berlaku ketika matahari, bumi, dan bulan berada dalam satu jajar yang sama atau hampir sama, dan apabila bulan terjatuh pada sebahagian (gerhana bulan separa) atau seluruh (gerhana bulan penuh) bayang-bayang umbra bumi.
  • Gerhana Matahari: Berlaku apabila matahari, bulan, dan bumi berada dalam satu jajar yang sama atau hampir sama, dan apabila bayang-bayang bulan menutupi cahaya matahari sama ada secara penuh ataupun separa bergantung kepada lokasi.
  • Supermoon: Berlaku apabila fasa bulan purnama bertembung dengan perigee, iaitu titik paling dekat antara bulan dengan bumi menyebabkan saiz bulan kelihatan lebih besar dan terang.
  • Blue moon: Kemunculan dua kali bulan purnama pada bulan yang sama mengikut kalendar Masihi.

Sebenarnya banyak lagi nak cerita, tapi tak nak artikel ni jadi terlalu panjang jadi yang lain-lain tu kita akan sentuh di entri yang akan datang. Jadi sebagai penutup artikel ini saya sarankan anda untuk cuba fikirkan sejenak, apakah yang akan terjadi pada bumi jika bulan hilang secara tiba-tiba? Fikirkanlah ye.

Advertisement

Antara Bumi dan Marikh

Semalam admin ada dapat cadangan dari seorang pembaca yang berbunyi begini;

“Buat perbincangan pasal atmosfera Bumi dan Marikh. Sama ke tak”

Hari ni kita akan bincangkan serba sedikit mengenai itu. Lagipun sekarang ni banyak desas desus usaha untuk berpindah ke Marikh yang kita dengar disebabkan permukaannya yang hampir serupa dengan Bumi dan juga bukti kewujudan air di planet tersebut suatu ketika dahulu. Tetapi adakah planet Marikh ini sesuai untuk diduduki?

Bercakap mengenai atmosfera kedua-dua planet, atmosfera Bumi mempunyai 78% nitrogen dan 21% oksigen. Manusia bergantung kepada oksigen untuk hidup dan Bumi kaya dengan itu. Sementara itu, atmosfera Marikh adalah sangat tipis berbanding dengan bumi (kurang dari 1% tebal atmosfera bumi) dan juga sangat toksik kerana mengandungi 95% karbon dioksida dan hanya 0.4% gas-gas lain termasuk oksigen. Di Bumi, lapisan atmosfera yang tebal akan menghalang sinaran ultraungu yang dihasilkan oleh Matahari. Hal ini penting bagi manusia kerana ia dapat mengelakkan kesan berbahaya terutamanya kanser kulit apabila didedahkan terlalu lama. Di Marikh, lapisan atmosfera yang sangat nipis tidak akan dapat menapis sinaran ultraungu tersebut.

Sumber: European Space Agency

Disebabkan lapisan atmosfera Marikh yang tipis ini jugalah perbezaan suhu antara siang dan malam jauh berbeza dengan di Bumi kerana ia tidak berupaya memerangkap haba dari Matahari. Perbezaan suhu siang dan malam di Marikh secara puratanya mencecah 70°C. Selain itu, tekanan atmosfera di planet Marikh adalah di bawah Amstrong’s limit iaitu 100 kali lebih rendah dari Bumi, di mana manusia tidak akan boleh hidup tanpa memakai sut tekanan kerana pada tahap ini air (termasuk darah) boleh mendidih pada suhu bilik. Perbezaan-perbezaan ini membuktikan atmosfera Marikh adalah jauh berbeza dari atmosfera Bumi, dan usaha untuk merubah Marikh supaya menjadi seperti Bumi (terraforming) amat sukar kerana selain atmosfera yang melampau, pembolehubah yang lain seperti permukaan yang berradiasi, tanah yang toksik, ribut pasir dan jarak Marikh sendiri yang sedikit jauh dari Matahari menambahkan lagi kesulitan.

Oleh itu, jagalah Bumi anda dengan baik. Jangan buang sampah merata, jangan bakar hutan sesuka hati, kurangkan penggunaan bahan kimia yang akan merosakkan lapisan ozon, peluk pokok kuat-kuat dan cakap terima kasih sebab beri oksigen. Sayangilah Bumi Anda.