Berapa beratkah galaksi kita? Itulah yang membuatkan ahli astronomi serata dunia tertanya-tanya. Selama beberapa dekad, ahli astronomi menggunakan pelbagai teknik untuk mengukur jisim galaksi Bima Sakti dan hasil daripada teknik-teknik yang digunakan, mereka mendapati bahawa jisim galaksi ini dianggarkan berada pada kadar 500 bilion hingga 3 trilion jisim suria. Tetapi baru-baru ini, dengan menggunakan gabungan data daripada teleskop Hubble dan satelit Gaia, ahli astronomi antarabangsa berjaya mendapatkan anggaran yang dianggap paling tepat buat masa ini. Berdasarkan data yang didapati daripada kedua-dua teknologi tersebut, jisim Bima Sakti adalah sekitar 1.5 trilion jisim suria.
Namun begitu, jisim galaksi ini adalah jauh lebih tinggi daripada jumlah jisim nyata yang terdapat di dalam galaksi. Jisim nyata seperti bintang-bintang yang dianggar sebanyak 200 bilion di dalam galaksi (60 bilion jisim suria) dan juga lohong hitam supermasif di tengah-tengah galaksi (4 juta jisim suria) hanyalah menghuni sebahagian kecil peratusan jumlah jisim galaksi. Begitu juga dengan elemen non-stellar seperti awan gas, planet, batu-batuan, zarah dan seumpamanya, hanya merangkumi 12 peratus daripada jumlah jisim galaksi. Peratusan selebihnya yang merangkumi 85 peratus daripada jumlah jisim galaksi adalah daripada sesuatu yang belum dapat diungkai lagi, iaitu jirim gelap. Meskipun jirim gelap tidak dapat dilihat, tetapi kewujudannya boleh dikesan dengan memerhatikan kelajuan pergerakan objek-objek samawi yang beredar mengelilingi galaksi.
Secara teorinya, semakin besar jisim sesuatu galaksi tersebut semakin laju kelajuan peredaran objek-objek bergerak mengelilingi galaksi kerana dipengaruhi graviti yang kuat bergantung kepada jisim galaksi terbabit. Menggunakan cara ini, jisim galaksi Bima Sakti ditentukan dengan pergerakan kelompok globul (globular cluster) yang mengelilingi galaksi. Di sinilah teleskop Hubble dan satelit Gaia memainkan peranan. Para astronomi dapat mengesan kelajuan kelompok-kelompok tersebut dengan menggabungkan data-data yang dihasilkan selama hampir 10 tahun untuk menganggar jisim Bima Sakti. Hasil daripada data-data ini, para astronomi berjaya mengukur jisim galaksi bersama jirim gelap dengan lebih tepat, di mana peratusannya diterangkan seperti di atas.
Jirim gelap ini masih menjadi misteri kepada kita semua. Para astronomi masih memikirkan apakah sebenarnya jirim gelap ini dan bagaimana ia berselerak di ruang angkasa dan menjadi suatu yang dominan mempengaruhi jisim dan objek di sekitarnya. Kemungkinan suatu hari nanti kita akan dapat mengenalpasti apakah jirim gelap ini, dan ianya akan menjadi satu lagi pencapaian dalam bidang astronomi.
Sumber: NASA