Jisim Bima Sakti akhirnya terungkai

Berapa beratkah galaksi kita? Itulah yang membuatkan ahli astronomi serata dunia tertanya-tanya. Selama beberapa dekad, ahli astronomi menggunakan pelbagai teknik untuk mengukur jisim galaksi Bima Sakti dan hasil daripada teknik-teknik yang digunakan, mereka mendapati bahawa jisim galaksi ini dianggarkan berada pada kadar 500 bilion hingga 3 trilion jisim suria. Tetapi baru-baru ini, dengan menggunakan gabungan data daripada teleskop Hubble dan satelit Gaia, ahli astronomi antarabangsa berjaya mendapatkan anggaran yang dianggap paling tepat buat masa ini. Berdasarkan data yang didapati daripada kedua-dua teknologi tersebut, jisim Bima Sakti adalah sekitar 1.5 trilion jisim suria.

Namun begitu, jisim galaksi ini adalah jauh lebih tinggi daripada jumlah jisim nyata yang terdapat di dalam galaksi. Jisim nyata seperti bintang-bintang yang dianggar sebanyak 200 bilion di dalam galaksi (60 bilion jisim suria) dan juga lohong hitam supermasif di tengah-tengah galaksi (4 juta jisim suria) hanyalah menghuni sebahagian kecil peratusan jumlah jisim galaksi. Begitu juga dengan elemen non-stellar seperti awan gas, planet, batu-batuan, zarah dan seumpamanya, hanya merangkumi 12 peratus daripada jumlah jisim galaksi. Peratusan selebihnya yang merangkumi 85 peratus daripada jumlah jisim galaksi adalah daripada sesuatu yang belum dapat diungkai lagi, iaitu jirim gelap. Meskipun jirim gelap tidak dapat dilihat, tetapi kewujudannya boleh dikesan dengan memerhatikan kelajuan pergerakan objek-objek samawi yang beredar mengelilingi galaksi.

Secara teorinya, semakin besar jisim sesuatu galaksi tersebut semakin laju kelajuan peredaran objek-objek bergerak mengelilingi galaksi kerana dipengaruhi graviti yang kuat bergantung kepada jisim galaksi terbabit. Menggunakan cara ini, jisim galaksi Bima Sakti ditentukan dengan pergerakan kelompok globul (globular cluster) yang mengelilingi galaksi. Di sinilah teleskop Hubble dan satelit Gaia memainkan peranan. Para astronomi dapat mengesan kelajuan kelompok-kelompok tersebut dengan menggabungkan data-data yang dihasilkan selama hampir 10 tahun untuk menganggar jisim Bima Sakti. Hasil daripada data-data ini, para astronomi berjaya mengukur jisim galaksi bersama jirim gelap dengan lebih tepat, di mana peratusannya diterangkan seperti di atas.

Jirim gelap ini masih menjadi misteri kepada kita semua. Para astronomi masih memikirkan apakah sebenarnya jirim gelap ini dan bagaimana ia berselerak di ruang angkasa dan menjadi suatu yang dominan mempengaruhi jisim dan objek di sekitarnya. Kemungkinan suatu hari nanti kita akan dapat mengenalpasti apakah jirim gelap ini, dan ianya akan menjadi satu lagi pencapaian dalam bidang astronomi.

Sumber: NASA

Advertisement

Jaga-jaga! Ada asteroid nak datang melawat Sabtu ni

Pernah tak dengar cerita pasal macam mana batu dari angkasa datang menghentam Bumi? Contohnya asteroid bersaiz 11-81 kilometer menghentam Chicxulub, Mexico yang terus menamatkan zaman dinosaur. Tak pun yang paling baru, meteor bersaiz 20 meter menghentam Chelyabinsk di Russia pada 2013 menyebabkan kerosakan lebih 7,200 bangunan dan mencederakan lebih 1,500 orang di sana. Haa peristiwa-peristiwa ni la yang buat kita takut.

Bercakap mengenai asteroid yang nak melawat Sabtu ni, asteroid yang diberi nama 2019 DN ni akan mencapai jarak terdekatnya dengan Bumi pada 12:19 tengah malam esok. Saiz asteroid ni adalah lebih kurang 91-200 meter. Kalau ikut saiz yang diberi, batu ni lebih kurang saiz padang bola! Kalau meteor yang 20 meter tu boleh buat macam-macam, cuba bayangkan asteroid yang besar macam ni boleh buat apa kat planet kita. Tapi jangan khuatir, jarak terdekat dengan Bumi tu masih dalam sekitar 13 kali jarak Bumi ke Bulan (13 lunar distance) iaitu lebih kurang 5 juta kilometer. Jadi walaupun asteroid ni dekat, dia takkan beri kesan kat kita pun.

Kalau nampak artikel kat internet yang cakap pasal kemungkinan hari kiamat disebabkan asteroid ni, anda boleh chill je dan anggap semua tu hoax. Lagipun pada 20 Mac ni akan ada asteroid yang lagi besar bernama 2019 CD5, bersaiz 100-230 meter akan datang singgah lagi dekat dengan Bumi, iaitu lebih kurang 10 kali jarak Bulan ke Bumi. Tapi yang tu pun takkan beri kesan apa-apa kat kita jadi tak perlu risau.